Bulan Ramadan 1999, Fazly mengikut rombongan kami mengerjakan umrah. Isteri dan anak-anaknya pun ikut sama. Macam biasa, Fazly riang sungguh bersama kawan-kawannya dan anggota jemaah yang lain bersembang dan bertepuk tampar bila ada waktu terluang. Jika jumpa Fazly, niat saya ingin melakukan kerja lain selalu saja terhenti gara-gara melayan telatahnya yang ceria.
Kadang-kadang apabila ada anak dara melintas, ringan sahaja mulut Fazly menegur. Apabila gadis itu melayan, semakin naik tocangnya. Dalam hati saya berkata, hmmmm... tak berubah juga perangai Fazly ni. Di Malaysia ke, di Mekah ke, sama saja.
"Hai, sorang je ke Amy? Nak abang temankan?" Fazly menegur gadis yang melintas ketika mereka duduk bersembang di lobi hotel. Boleh tahan juga gadis itu. Berkulit cerah, genit dan boleh dibawa berbual dengan sesiapa sahaja. Lenggok gemalai dan senyuman yang sentiasa terukir di bibirnya membuatkan hati lelaki bergetar.
"Abang tak kisah, Amy. Nak ajak abang temankan pergi toilet pun abang rela!" kata Fazly sambil tersengih. Gelak tawa berderai memecah keheningan kawasan lobi tempat penginapan kami.
"Helleh, apa kelas toilet? Kita jalan jalan nak pergi shoppinglah!" gadis itu galak melayan. Apalagi, kecohlah suasana ketika itu. Masing-masing tidak mahu kalah walaupun sudah bergelar bapa orang.
Amy memang budak yang ada 'sejarah'kurang baik. Keluarganya sudah tidak tahan lagi dengan sikap Amy. Gadis itu amat liar dan nakal. Jadi apabila dapat tahu saya menganjurkan umrah, ibu bapa Amy bawa anak mereka untuk turut serta. Saya harap sangat apabila dikelilingi persekitaran ibadat di Tanah Suci hati Amy akan tenang dan akhlaknya dapat dibentuk semula.
Dalam mereka rancak berborak, saya mencelah. "Amy jaga baik-baik, tau! Abang-abang ni buaya sikit," saya berlawak sambil menjeling penuh makna kepada Fazly dan kawan-kawannya.
"Alah, ustaz ni. Kita ada bodyguard la! Sapa-sapa nak kacau cubalah, kalau nak lebam biji mata!" Amy membalas dengan kasar.
Saya terkedu mendengar jawapan selamba gadis itu. Wah, ganas betul budak ni. Memang patut pun dia dibawa ke Mekah.
Selepas lima enam hari di Mekah, tiba-tiba suatu yang aneh berlaku. Fazly yang merupakan watak utama, penghidup suasana, pencetus ceria rombongan umrah kami, dengan tidak semena-mena ghaib.
Isy, pelik! Selama ini dia tidak pernah tinggal pun aktiviti dan ibadat yang kami anjurkan. Kalau biasanya dia yang bising bercerita itu dan ini, sekarang riuh suaranya tidak kedengaran lagi.
"Eh, mana pergi Abang Fazly, ya?" Amy, gadis yang selalu melayan Fazly juga hairan. Tanyalah pada sesiapa pun, memang kami tidak nampak kelibat Fazly semasa bersarapan, makan tengah hari atau malam. Malah hendak tengok dia bersolat jemaah pun payah!
Dua tiga hari Fazly `ghaib'. Hendak dijadikan cerita, suatu hari kami terlihat anak-anak Fazly bermain. Saya hampiri budak-budak itu.
"Shasha, ayah mana?"
"Kat bilik," ujar budak itu lurus. Orang kata hati budak-budak ini jujur dan bersih. Kalau kita hendak tahu kebenaran akan sesuatu, koreklah rahsia itu daripada mereka. Lantas saya bertanya kepada budak-budak itu.
"Kenapa ayah asyik berkurung di bilik aja? Tak sihat ke dia?"
"Mak tak kasi ayah keluar."
Pulak, dah! Mendengar jawapan si anak tadi, hati saya rasa tidak tenang. Siasat punya siasat, didapati isteri Fazly telah mengurung suaminya di dalam bilik.
Patutlah selama ini kami sering lihat isteri Fazly sendirian keluar membeli makanan. Rupa-rupanya wanita itu melarang suaminya daripada makan bersama-sama jemaah lain.
Tapi apa kesalahan Fazly?
Hari berikutnya kami menziarahi Jabal Rahmah. Kebetulan ketika itu. Fazly turut sama berziarah bersama keluarganya. Satu lagi perkara mengejutkan berlaku, Fazly muncul dengan kepala botak macam orang baru bayar nazar. Licin
terus, sehelai rambut pun tak ada. Kata Fazly, itu arahan isterinya. Nak buat macam mana, kena ikut juga supaya tak bergaduh.
Tapi Fazly tetap Fazly. Suasana ceria semula bila Fazly dilepaskan dari kurungannya. Fazly seakan-akan lupa segala. Kecoh rombongan kami dengan gelak ketawanya dan kawan-kawan yang sekepala.
Selesai ziarah, bas bertolak balik ke hotel. Rupa-rupanya dalam pada Fazly dan kawan-kawan asyik bergelak ketawa, ada hati yang sedang menggelegak. Dalam bas, ada sepasang mata merah membara. Menurut kisahnya, isteri Fazly cemburu! Dia berprasangka bahawa Fazly ke Jabal Rahmah untuk berdoa agar dia bertemu jodoh dengan si Amy. Maklumlah, Jabal Rahmah dipercayai tempat mustajab untuk berdoa mencari pasangan.
Geram punya pasal, sampai sahaja di Mekah, isteri Fazly mengamuk. Teruk Fazly dilanyaknya dengan pelbagai tuduhan. Bukan itu saja, dia hendak pulang ke tanah air pada waktu itu juga! Tidak boleh tidak! Muktamad!
Kemarahan isterinya tidak dapat dipujuk lagi. Mahu tak mahu, Fazly terpaksa akur. Saya gagal memujuk pasangan itu dan terpaksa menghantar mereka ke lapangan terbang.
Petang itu telefon bimbit saya berbunyi. Inbox mesej didatangi beberapa pesanan dari Fazly. Dia sudah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Fazly juga beritahu ada satu cerita dia hendak sampaikan.
"Nanti sampai rumah, saya telefon ustaz balik," sambung SMS dari Fazly itu.
Apa yang hendak diceritakannya, saya bertanya-tanya di dalam hati. Beberapa jam kemudian, saya menerima panggilan dari Fazly.
Menurut Fazly, sewaktu dalam penerbangan berlaku perkara yang menggusarkannya. Isterinya asyik mengadu tidak boleh tidur kerana sering diganggu mimpi seorang lelaki Arab mengejar dan mengusiknya.
"Kata isteri saya, lelaki Arab itu mengekori setiap gerak-gerinya. Isteri saya pergi bazar, pak Arab itu ikut. Dia kejar isteri saya. Isteri saya lari sebab pak Arab itu macam hendak buat tak baik padanya.
"Pergi ke masjid, pun macam tu. Lelaki Arab itu pasti muncul di celah orang ramai dan ikut ke mana saja isteri saya pergi. Nak pegang dan tangkap isteri saya. Kata isteri saya, muka lelaki itu cukup menakutkan. Garang. Dia kejar isteri saya," terang Fazly risau.
Walaupun dia tidak diapa-apakan, tapi mimpi itu membuatkan isteri Fazly tidak lena tidur. Baru lima minit pejamkan mata, lelaki itu muncul. Baru hendak lena, datang mimpi dia dikejar lelaki tersebut.
"Isteri saya tak dapat tidur sampailah ke Kuala Lumpur. Dia jadi takut nak pejamkan mata," kata Fazly.
Bila disoal lagi, rupa-rupanya mimpi itu sudah mengganggu isteri Fazly sejak di Mekah lagi. Dua tiga malam sebelum mereka pulang ke tanah air lagi tidur isterinya diganggu oleh mimpi dikejar lelaki Arab.
Saya memberitahu Fazly, cubalah amalkan membaca ayat Kursi banyak banyak. Jin dan makhluk halus ini ada di mana-mana. la merasuki tubuh manusia, mengakibatkan manusia hilang kawalan diri dalam bentuk gangguan mental dan emosi. Apabila makhluk halus bersarang dalam jiwa manusia, tiada apa yang dapat menghalangnya kecuali jiwa yang diisi dengan kalimah-kalimah Allah.
Setelah ibadat umrah selesai dijalankan, kami kembali semula ke tanah air. Sewaktu berada di pejabat beberapa hari kemudian, saya terima satu lagi panggilan telefon dari Fazly. Dia menyampaikan berita yang isterinya sudah tidak dihantui oleh mimpi itu lagi.
"Tapi sebelum tu teruk juga ustaz. Tak boleh pejam mata, mimpi masa di Mekah itu datang lagi. Macam lelaki Arab itu kejar isteri saya sampai ke Malaysia.
"Alhamdulillah, lepas baca ayat-ayat suci yang ustaz ajar, mimpi itu beransur hilang. Sekarang dah okey, isteri saya dah tidur lena. Terima kasih, ustaz," ucap Fazly diiringi dengan gelak ketawa.
Kami berbual panjang dan saya cuba mencari apakah agaknya yang menyebabkan isteri Fazly dihantui mimpi dikejar lelaki Arab. Tidak sangka, rupa rupanya sepanjang di Tanah Suci, mata si isteri tidak lepas daripada meneropong aksi nakal Fazly dan Amy. Si isteri makan hati terhadap suami. Dia geram melihat kemesraan Fazly dan Amy, macam orang tak ingat dunia. Bayangkan hati isteri mana yang tidak terluka?
Daripada cerita yang dikhabarkan,boleh saya simpulkan si isteri sentiasa tidak tenteram sewaktu mengerjakan umrah. Fikiran yang sepatutnya di fokuskan kepada ibadat dicemari bermacam-macam prasangka buruk tentang suami. Fikiran kacau-bilau, sering mengandaikan yang buruk-buruk saja.Akibatnya, suami ke mana, ibadat kemana.
Kerana tidak tahan, dia bertindak mengawal tingkah laku Fazly. Itulah puncanya Fazly dikenakan hukuman perintah berkurung dan digondolkan kepala!
Betulkah Fazly jatuh cinta pada Amy? Tidak. Pada hakikatnya, Fazly tidak menyimpan apa-apa perasaan pun pada budak perempuan itu. Sekadar suka-suka sahaja. Dia cuma menganggap gadis itu seperti adik sendiri disebabkan jarak usia yang agak jauh.
Yang jadi mangsa, isterinya. Disebabkan perasaan yang kacau bilau, cemburu dan prasangka yang bukan-bukan, dia pula diganggu mimpi dikejar lelaki. Suami tak ada apa-apa, dia pula yang terganggu fikiran dan emosi.
Sebelum mengakhiri perbualan kami di telefon, saya berpesan kepada Fazly, "Jaga hati isteri tu baik-baik. Perempuan ni hatinya sensitif. Jiwa halus, cintanya 200 persen. Tapi kalau sedikit terguris, kesannya ke akhir hayat."
Thanks to cik kaler hijau for tagging me in this note at facebook :)