Wednesday, June 30, 2010

iraq dan palestin? di mana prioriti kita?

Iraq dan Palestin; Di Mana Prioriti Kita?

Rabu, 2010 Jun 30



“Ya Syakira, kami ini orang Arab. Dari tanah Arab. Kami tahu hal yang sebenarnya terjadi.”, jelas Ameerah.

Aku menarik nafas dan menghela perlahan.

Ameerah ialah sahabat yang aku kenal di bumi UIA ini pada bulan Ramadhan tahun lepas. Ada beberapa peristiwa menjurus kepada perkenalan kami di masjid. Dia merupakan pelajar Master dalam jurusan Undang-undang.

Pagi tadi usai kelas Political Science, aku terus pulang ke Mahallah Saffiyah. Cadangnya nak baca Ulum Quran. Esok ada mid term. Berselisih dengan Ameera si pipi merah bermata biru. Salam dihulur. Pipi bertemu.


“I miss you, ukhti. Sudah lama tak berjumpa”, katanya kepadaku. Aku tersenyum membalas.

Lantas kutanyakan kepadanya.

“Sekarang inikan minggu memperingati Al-Quds, Filastin? Kamu tak sertai mereka buka booth?”

“Ooh..saya ada juga dengar tentangnya.” Jawabnya dengan muka bersahaja. Aku jadi hairan melihat reaksinya itu. Sepatutnya dia perlu bersemangat kerana bukankah Palestin adalah negaranya yang perlu dilindungi? Lalu kutanyakan lagi.

“Kamu bukankah orang Palestin?”

“Tidak ya ukhti. Ana min Iraq”

Masya Allah.. Aku jadi terlupa bahawa Ameerah sebenarnya berasal dari Baghdad. Ini mesti aku telah tercampur aduk dengan Sameer, Na’il dan David yang dari Palestin itu. Benar. Ameerah berasal dari Baghad. Lantas cerita-cerita lama tentangnya bermain di fikiranku. Tentang ibunya yang sudah tua tinggal keseorangan di sana. Yang tinggal hanya dia dan adik perempuannya sahaja. Ayah dan saudara-saudara lelakinya telah terbunuh.

“Isu di Iraq lebih besar, Syakira. Lebih besar daripada isu Palestin”

Aku terdiam. Membesarkan mata tanda perlukan penjelasan.

“Puak-puak Syiah membunuh kami orang-orang Sunnah. Mereka bukan membunuh secara biasa, tetapi mereka menyeksa kami dengan seksaan yang dahsyat. Mereka mencungkil mata kami, menggerudi tubuh kami sehingga kami mati.”

Aku beristighfar. Aku keliru. Apakah Syiah ini Muslim?

Semasa semester satu tahun lepas, Syiah ialah tajuk assignment yang aku pilih untuk subjek Introduction to Fiqh. Mungkin 5 buah buku rujukan yang aku baca masih tidak mencukupi untuk aku memahami situasi sebenar. Aku maklum dengan firqah mereka. Zaidiyyah, Ismailiah, Fatimiyah dan lain-lain lagi, serta 12 imam mereka. Aku maklum dengan ajaran-ajaran mereka yang aneh-aneh lagi gharib itu. Rupanya apa yang aku maklum itu hanyalah makluman yang secebis cuma. Rupanya apa yang aku maklum itu hanya serba berdikit sahaja.

“Tidak. Mereka bukan Muslim. Asalnya mereka adalah agama dari Parsi” jawab Ameerah menghilangkan kegusaranku.

“Di hadapan kamu, mereka mengaku mereka Muslim, tetapi pada hakikatnya, mereka ingin menghancurkan Islam. Mereka ingin menghancurkan Al-Quran. Mereka ingin menghancurkan Sunnah. Mereka menolak Nabi Muhammad Sallahu alaihi wa Sallam”, sambungnya lagi dengan penuh semangat.

Aku mendengar penuh teliti.

“Mereka menutup isu ini daripada pengetahuan umum. Dahulunya banyak puak Sunni yang tinggal di Iraq. Tetapi sekarang sudah semakin berkurang kerana mereka membunuh kami setiap hari. Cuba kamu bayangkan kami berjiran dengan Syiah, lalu mereka masuk ke dalam rumah kami dan menyeksa kami sebelum membunuh. Kanak-kanak, orang tua dan semua orang-orang Sunni. Sehinggakan kami sangat takut untuk mengaku kami ini Sunni di hadapan mereka. Hatta sekarang kemudahan air puak Sunni sedang dipotong oleh mereka.”

“Mereka kata Saddam Hussein itu zalim. Sedangkan hak-hak mereka telah Saddam penuhi. Dia memberi kemudahan dan kedudukan kepada mereka. Tapi akhirnya mereka mendakwa Saddam tidak memberikan mereka hak apa pun. Saddam berpemikiran tentera. Walaupun dia tidak begitu Islamic tetapi dia tetap golongan Sunni.”

“Ramai orang tak tahu, Syakira.”

“Apabila keadaaan sudah jadi begini, tiada siapakah yang datang membantu kamu, Ameerah?”, tanyaku.

Perbualan kami menjadi semakin panjang. Campuran Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab melancarkan perpincangan. Berbincang di tengah panas mentari pagi pada jam 1015 di hadapan pondok pengawal Mahallah Saffiyyah, tidaklah sepanas hati Ameerah menceritakan segala kekejaman Syiah kepadaku.

“Tiada siapa datang membantu. Ini semua hanya permainan politik. Mereka Syiah bekerjasama dengan US. Malah Tanah Arab di sekitarnya turut berkerjasama dengan US. Mereka tidak bisa berkata apa-apa”, jawabnya sambil tersenyum.

Senyumannya yang kurasakan hanya untuk menyembunyikan perasaannya sebenar. Kagum. Aku kagum melihat dia yang masih mampu tersenyum. Jika aku di tempatnya mungkin sudah basah kain kerudungku menyapu air mata. Apatah lagi mengenang ibunya yang keseorangan di Baghdad.

“Di Palestin situasinya berbeza. Mereka mendapat simpati dari seluruh dunia. Kerajaan Arab di sekitar datang membantu mereka. Orang-orang Yahudi membunuh hanya segolongan daripada mereka sahaja. Golongan mujahidin yang mempertahankan Al-Aqsa sahaja dibunuh, serta ahli keluarga mereka yang terlibat dihalau dari tanah mereka. Sesetengahnya tidak dibunuh tapi hanya dihalau. Sekiranya dibunuh, mereka akan dibunuh dengan senang menggunakan senapang dengan tembakan sahaja. Tetapi kami? Mereka menyeksa, mencungkil biji mata kami hidup-hidup. Seksaan Yahudi itu lebih ringan jika dibandingkan dengan apa yang Syiah lakukan. Apa yang Yahudi mahukan hanyalah tanah Palestin dan tapak Haikal di Al-Aqsa”, terangnya.

Aku perhatikan betul-betul butir bicaranya.

“Tetapi situasi kami di Iraq sangat-sangat genting. Mereka membunuh SEMUA orang Sunni. Mereka mahu menghapuskan Sunni dari tanah Iraq. Ketahuilah Syakira, apabila mereka sudah selesai di Iraq, mereka pasti akan beralih ke negeri lain pula.”

“Jadi saya ingin tanyakan kepada kamu, Syakira. Yang mana satu perkara yang lebih berbahaya antara dua keadaan ini? Palestin atau keselamatan Islam dan Sunni di Iraq? Ya Syakira, kamu foreigners. Mungkin kamu tidak tahu. Kami ini orang Arab. Dari tanah Arab. Kami tahu hal yang sebenarnya terjadi.”, jelas Ameera.

“Jika kamu tanyakan kepada orang Palestin bagaimana kehidupan mereka sekarang, mereka pasti akan mejawab, “kami hidup dengan tenang”..”

Dalam perkara ini mungkin ada benarnya juga. Aku sudahpun singgah di booth Palestin dan bertanya keadaan Palestin sekarang. Mereka menjawab 50% 50%.

Sambung Ameerah lagi. “ gambar-gambar kekejaman yang mereka tunjuk itu adalah gambar-gambar lama. Lihatlah pada tarikhnya. Sekarang ianya sudah tiada lagi. Saya hairan dengan orang Palestin yang mempromosikan hal ini. Mereka kata mereka bersedih. Tetapi jika ditanya, adakah mereka berjuang menentang Yahudi? Mereka menjawab tidak. Akan tetapi, jika kamu tanya mereka tentang Iraq, mereka tidak tahu. Cuba kamu tanyakan mereka tentang gambar-gambar kekejaman yang berlaku sekarang. Mereka tidak ada.” Terangnya panjang lebar.

Sekali lagi mungkin ada benarnya juga kata-kata Ameerah ini. Aku pernah bersembang dengan beberapa brothers Palestin. Aku tanyakan adakah mereka berperang dengan Yahudi? Mereka katakan tidak. Mereka punyai anggota mujahidin tersendiri. Entah lah. Aku pun tak pasti.

Aku teringin benar mahu melihat gambar-gambar kekejaman Syiah di Iraq. Walaupun akau tahu aku tidak sanggup, mungkin menjeling sikit-sikit boleh lah.

“Saya ada gambarnya dalam laptop saya. Suatu hari nanti saya akan tunjukkan pada kamu. Syakira, apa yang saya ceritakan ini bukannya mahu menagih simpati atau belas kasihan orang ramai. Tetapi saya berharap benar agar orang ramai akan tahu situasi yang menggugat Islam sedang berlaku.”, ujarnya mengakhiri kalam.

Masa berlalu tak kusedari. Sudah sejam kami berdiri berbual. Ameerah terpaksa mengundur diri kerana sudah berjanji dengan rakannya untuk berbincang subjek Malaysian Civil Law di library. Kalau diikutkan mahu sahaja aku memanjangkan bicara. Mungkin lain kali kami berjumpa lagi, apatah lagi aku sudah berjanji untuk ke biliknya dalam minggu ini untuk melihat gambar.

Huhu. Tersilap maklumat pula aku khabarkan pada Ameerah bahawa pada hari Sabtu ini,23 Ogos, ada seminar Syiah dan Khawarij di Taman Sri Ukay. Rupa-rupanya tersilap tarikh. Seminar itu pada 20 September nanti. Ini mesti aku dah terpening dengan pengumuman Abg Syarief semalam ketika di penghujung kuliyyah Ustaz Fadlan, yang menyebut banyak sangat program.


Kesimpulannya...


Anda simpul lah sendiri. Aku terkedu dan terharu mendengar cerita ini. Tidak tahu apa yang harus dikatakan melainkan berdoa agar mereka dilindungi oleh Allah SWT. Kedua-dua isu Iraq dan Palestin tak boleh diketepikan. Prioriti?

Kita yang berada jauh daripada kedua-dua mereka patut menyokong apa-apa perjuangan mereka menyelamatkan Islam. Dalam hal ini, Ameerah mungkin berasa negaranya disisihkan daripada pengetahuan umum, jadi dia terasa sedikit dengan orang Palestin..

Really nice to meet her.



Wallahu a’lamu bis sowaab..

sumber : http://jejakitinggalanrasul.blogspot.com

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...