“Kenapa enta di sini?” Soal Husin bagaikan tidak berpuas hati dengan jawapan saya. Lamunan saya mati andar. Sungguh, saya memberanikan diri menyeberangi sempadan Iran menuju ke sini kerana saya ingin mencari. Saya sedang memburu bahan untuk menyiapkan sebuah buku akademik mengenai drama perkabungan (ta’ziyeh) Imam Husin untuk dibandingkan dengan drama perkabungan Jesus (liturgy) dalam Kristian bermazhab Katolik. Di tanahair saya diasak tohmahan yang saya adalah seorang syiah kerana minat saya mengkaji wilayah kabur ini. Saya tidak apa-apa dituduh. Hanya Allah dan Nabi Muhammad saw yang akan menilai duduk iman saya. Saya tidak akan berkongsi kubur dengan sang penuduh.
Husin tiba-tiba berbicara, “Faisal, kalau kita benar-benar mencintai Rasulullah maka kita pun meraikan kelahiran baginda, kita raikan pula israk mikraj, kita raikan setiap kegembiraan baginda Nabi Muhammad saw. Mengapa ketika kesedihan dan kedukaan Nabi Muhammad kita mahu melupakannya dan tidak mahu menangisinya seperti yang Rasulullah saw lakukan? Bolehkah enta mencintai Rasulullah dan hanya bersama dengannya ketika senang dan meninggalkan baginda nabi ketika baginda bersedih? Tidakkah itu janggal sekali? Dan adalah jelas, Nabi Muhammad saw berada dalam keadaan duka oleh kesyahidan cucunya yang dianiaya sedemikian rupa.”
Petang itu saya harus berangkat ke Samarra. Jalanan sudah kian sesak dengan penziarah yang siap berkabung mengenang Saidina Husin, cucu Rasulullah saw. Saya bimbang menongkah arus manusia di jalanan akan melambatkan pergerakan menuju ke Baghdad yang penuh bahaya.
“Tunggu ana di sini, di Karbala.” Kata saya kepada Munir dan Husin. “Ana ke Samarra hanya seharian, esok kembali ke sini.”
Munir mengangguk. Husin tersenyum. Matanya bening. Saya memegang tangan Husin dan membuka genggamannya, pada telapak tangan anak muda itu saya letakkan pengikat kunci Menara Berkembar Petronas. Dia memeluk saya. Sungguh gembira. Katanya dia mahu mengumpul wang untuk belajar bahasa Inggeris di Kuala Lumpur. Kemudian Munir dan Husin memberikan saya sekeping gambar yang siap dibingkai. Foto Makam Imam Hasan Askari dan Hadi Naqi di Samarra yang dibom pengganas wahabi. Saya memegang bahu Husin, “Ana akan kembali. Tunggu ana di Karbala. Di sini.”
sumber: cerpen 'Tunggu Ana Di Karbala'
tehranifaisal.blogspot.com/2010/01/cerpen-tunggu-ana-di-karbala.html
No comments:
Post a Comment